Feb 25, 2021 - FAS
Sabtu ini, 27 Februari, perlawanan antara derbi tertua di Malaysia, Derbi Lembah Klang akan berlangsung dan akan disiarkan secara langsung oleh rakan penyiaran rasmi The Derby, Astro di saluran 825 jam 9 malam.
'The Derby' merupakan nama kejohanan pramusim tahunan rasmi di antara Selangor FC dan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) yang diadakan untuk menghidupkan kembali kemeriahan derbi Lembah Klang, selain menjadi medan menguji kekuatan kedua-dua pasukan sebelum musim baharu bola sepak bermula.
Persengketaan dua gergasi ini sebenarnya bukanlah perkara yang baharu kerana sejarah pertemuan kedua-dua pasukan ini telah bermula sejak tahun 1979 lagi dengan 79 pertemuan. Dari kesemua pertemuan ini, Selangor telah mengecapi 50 kemenangan dan kali terakhir merakamkan kejayaan adalah pada tahun 2019 di mana Selangor menewaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 2-1 di Stadium Shah Alam untuk saingan Liga Super.
Sekitar era 80an dan 90an, perlawanan bola sepak derbi Lembah Klang adalah perlawanan yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat kerana perseteruan antara kedua-dua pasukan bola sepak terbesar di Malaysia ini kerana menghimpunkan nama-nama besar bola sepak negara seperti Karel Stromsik, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azman Adnan, Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, K.Gunalan dan pemain Singapura, Fandi Ahmad.
The Derby tahun ini juga tidak kurang hebatnya apabila pertemuan The City Boys dan Red Giants bakal disertai oleh pemain pemain bola sepak kebangsaan dan berprofil tinggi seperti Shahrel Fikri, Syahmi Safari, Brendan Gan, Khairulazhan Khalid, Indra Putra Mahyuddin, Shukor Adan dan Akram Mahinan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, perlawanan ini diadakan khas bagi memeriahkan kembali Liga M, terutamanya bagi pemerhati sukan bola sepak di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur .
"Saya dihubungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu KLUFC, Stanley Bernard untuk mengadakan perlawanan tahunan pramusim bersama dan pihak Selangor FC melihat cadangan tersebut sangat menarik untuk pasukan serta penyokong-penyokong kancah bolasepak Malaysia terutamanya Red Giants FC dan KLUFC," jelas Dr. Johan.
"Kejohanan pramusim tahunan rasmi ini diadakan khusus untuk pasukan Selangor FC dan KLUFC sahaja bagi menyambut sejarah derbi Lembah Klang yang menjadi antara aksi penting Liga Malaysia sejak tahun 1979," tambahnya lagi.
"Pengurusan baharu KLUFC telah membuat perubahan yang sangat baik di dalam mahupun luar padang. Mereka juga telah membawa masuk seorang jurulatih yang bagus dan pemain-pemain yang berkualiti untuk musim ini. Saya dapat rasakan KLUFC mampu berikan cabaran yang sengit untuk top 5 Liga Super 2021," kata Dr. Johan apabila bercerita tentang pasukan KLUFC.
"Dengan perubahan baik kedua-dua pasukan, saya berharap kejohanan ini akan menjadi satu perlawanan yang dinanti-nantikan semua dan akan lebih banyak elemen-elemen baru bakal dimasukkan bagi memeriahkan lagi kejohanan tahunan ini di tahun-tahun yang akan," Dr. Johan menyatakan harapannya sebelum menamatkan temubual.
Penyokong yang berhasrat untuk menyaksikan The Derby ini secara langsung pada hari Sabtu ini boleh menonton perlawanan ini di Astro saluran 825 secara percuma untuk pelanggan pakej Astro Sports Pack, manakala pelanggan Astro dan Njoi yang tidak melanggan pakej tersebut boleh membeli pas perlawanan di saluran 200 dengan harga RM2.99 bermula 25 Februari ini.
Demi Kebanggaan!